Puisi SAHABAT

Persahabatan
Sahabat
Dimulakan dengan detik perkenalan
Yang akhirnya disusun menjadi keakraban
Melalui hari-hari yang penuh bererti 
Yang sarat dengan ranjau kehidupan

Sahabat
Kehadiranmu umpama malaikat utusan Ilahi
Menjadi pembimbing tatkala leka dihanyut mimpi
Pembakar semangat ketika bertempur di medan ilmu
Dan berdirinya aku hari ini kerana adanya kamu

Wahai sahabat
Usai mengenangkan zaman dahulu
Gelak tawamu pernah mengisi ruang waktuku
Cebisan nasihatmu menjadi suntikan semangat untukku
Namun semua memori lama ini hanya terpancar di layar ingatan 
Yang akan berlalu pergi dimamah waktu
Kerana kita telah berada di takah dewasa

Wahai sahabat
Dulu sehaluan kini bercabang
Arah tuju menjadi bersimpang
Matlamat dan cita-cita kini berlainan
Menjadi titik mula kepada perpisahan
Lerainya ikatan yang mencipta kerinduan
Sedih terkenang saat jatuh bangun bersama
Dahulunya kita sama-sama menyemai benih kesungguhan di atas batas keazaman
Yang akhirnya bertunas menjadi kejayaan
Warna-warni lukisan kehidupanku sesungguhnya dicorakkan olehmu

Sahabat sejatiku
Biar kita dijarakkan oleh waktu 
Namun tetap dekat di kalbu
Tali persahabatan telah kita tautkan
Bersama kita suburkan kenangan manis di dalam hati
Dalam hasrat ini, dalam anganku ini hanya satu yang ku inginkan 
Hanya doa yang aku pinta padamu untuk dikirimankan kepadaku

Hari hari kian berlalu
Masa silih berganti lalu mengubah watak-watak penting dalam pentas kehidupanku
Ramai yang telah berlalu pergi 
Ada juga yang kekal abadi
Ketahuilah sahabat, kamu sentiasa terpahat dalam ingatan
Senada kita seiring dan sehati kita bersatu
Dalam satu kalimat, aku dan kau 'tak lekang dek waktu'





Comments

Popular Posts